Monday, May 05, 2008

Kita dan Isu Beras


Masalah beras adalah satu masalah yang global kini dari sudut bekalan makanan. Dunia kini menghadapi masalah yang belum lagi menjadi krisis, tetapi jika tidak diambil tindakan segera dan menyeluruh, pasti menjadi krisis.

Permasalahan ini boleh diredakan dengan banyak kaedah serta perlu diatasi bersama. Kerajaan yang menyediakan stok penimbal untuk masalah ini mungkin mampu menampung keperluan dalam beberapa ketika sahaja. Jika ada stok pun, masalah pengguna yang tidak mempunyai wang untuk membeli akibat peningkatan harga akan memburukkan keadaan.

Apalah sangat yang mampu dilakukan oleh kerajaan seandainya rakyat tidak menyokong tindakan tersebut. Jesteru saya berpendapat bahawa kita yang mengaku sebagai rakyat Malaysia harus mengambil langkah proaktif untuk mengatasi masalah ini.

Pertama – kita harus mengurangkan pengambilan nasi, bukan bermaksud berhenti terus mengambil nasi. Pengurangan penggunaan secara massa akan mengurangkan permintaan, maka, harga boleh distabilkan. Nasi memanglah sedap jika dimakan, tetapi pengambilan yang banyak boleh membawa kepada masalah. Pesakit-pesakit yang menghidap penyakit kronik harus mencari alternative lain untuk mengurangkan pengambilan nasi. Mereka yang berumur lebih dari 35 tahun sudah boleh mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan pengambilan karbohidrat yang tinggi. Pengambilan yang tinggi tetapi tidak menukarkan kepada tenaga akan menyimpan tenaga tersebut kepada lemak.

Kedua – setiap negeri harus memainkan peranan mereka sendiri dengan menambahkan pengeluaran padi untuk kegunaan sendiri. Bekalan setempat akan mengurangkan kos dan menjamin bekalan yang berterusan. “ self sufficient “ dalam pengeluaran bahan makan ruji bukan sahaja menjimatkan tetapi juga dapat meningkatkan kadar guna tenaga buruh setempat dan peningkatan tahap ekonomi.

Ketiga – bagi penduduk Temerloh sendiri, kita mempunyai tanah paya terbiar yang cukup luas. Pihak kerajaan tempatan serta parti politik harus menggalakkan orang Temerloh untuk mengusahakan kembali paya-paya yang telah berpuluh tahun terbiar itu semula. Pengujudan estet padi secara komersial dan sistematik di daerah Temerloh harus diusahakan. Tukar sistem penanaman padi secara paya kepada sistem sawah. Wujudkan sistem pengairan yang sistematik nescaya masalah banjir akan sedikit sebanyak dapat diselesaikan di Temerloh. Selain ikan sangkar yang tumbuh subur di Temerloh, kita boleh menikmati beras buatan Temerloh yang bermutu.

Tanah paya terbiar di Paya Pulai


Bukan sekadar pembangunan fizikal yang harus diusahakan di Temerloh, pembangunan pertanian bagi kegunaan setempat akan lebih mendatangkan faedah kepada semua. Tindakan setempat mampu membangunkan keseluruhan Negara.

No comments: